Mengisahkan perjalanan watak gadis dari Itali, Lisandra sedang menyiapkan tesis PhD mengenai ‘Pencemaran Air.’ Ibunya, wanita Itali yang telah berkahwin dengan lelaki dari Malaysia tetapi telah terpisah selama 27 tahun. Sebelum meninggal dunia ibunya meminta Lisandra mencari bapanya di Sarawak, Malaysia. Lisandra akur kehendak ibunya dan datang ke Malaysia. Namun dia tidak keseorangan apabila bekas kekasihnya Alexandro menyusulnya dengan alasan mahu memujuk Lisandra kembali kepadanya. Ternyata Alexandro kembali mengulangi kesalahannya curang dengan gadis lain dan akhirnya pulang ke Itali bila ditolak oleh Lisandra.
Sementara itu Zamani tinggal bersama ibu dan bapa tirinya. Zamani amat menyayangi ibunya tetapi tidak suka kepada bapa tirinya yang seringkali mendera ibunya. Bapa tiri Zamani adalah seorang pengedar dadah dan juga seringkali diupah untuk membuang bahan toksik kilang ke dalam sungai. Zamani bersahabat dengan Haris. Haris adalah seorang lelaki yang pandai ‘mengayat’ wanita. Lisandra pula sewaktu berada di chalet seringkali teringatkan ibunya terutama ketika beliau bermain Sape yang diberikan ibunya kepada dia.
Dalam usaha menyiapkan tesisnya, Lisandra telah terlibat dalam menyelesaikan masalah pembuangan bahan kimia bertoksik di sungai di Pantai Timur. Dia bertemu dengan Zamani dan mula berkawan. Hubungan itu juga disenangi oleh ibu Zamani, Haiza. Zamani membawa Lisandra yang ingin membeli batik ke butik Saharul. Saharul terpegun memandang wajah Lisandra yang mirip wajah isterinya dulu.