Lakonan mantap Beto Khushairy, Sharnaaz Ahmad, Fasha Sandha dan Dian P.Ramlee di bawah
arahan Haris Kadir ini mengisahkan Ghazlan dan Hisyam berkawan sejak kecil bercita-cita
hendak menjadi anggota keselamatan. Mereka berkawan hingga ke IPTA tetapi selepas tamat
pengajian hubungan mereka terputus.
Ketika di kampus, Hisyam dan Aisyah bercinta. Namun sikap Hisyam yang panas baran hingga
sanggup bertengkar dengan ayah Aisyah, Datuk Kamal menyebabkan hubungan mereka
mendapat tentangan hebat. Datuk Kamal juga mengugut mereka memutuskan hubungan jika
tidak mahu Aisyah dibuang keluarga. Hisyam akur demi Aisyah dan meninggalkan Aisyah tanpa
khabar berita. Aisyah sedih dan kecewa.
Hisyam sebenarnya terbabit dalam bidang kepolisian dan menjadi undercover. Kariernya itu
menyebabkan dia mengambil tindakan menyepi diri daripada Aisyah walaupun hakikatnya dia
benar-benar mencintai Aisyah.
Ghazlan dan Aisyah bertemu setelah dua tahun mereka keluar dari IPTA. Apabila bertemu Datuk
Kamal mendesak Aisyah menerima lamaran lelaki lain, Aisyah serba salah kerana dia masih lagi
mencintai Hisyam. Setelah didesak, akhirnya Aisyah meminta bantuan Ghazlan supaya
mengganti tempat Hisyam. Meskipun berat menerima tetapi akhirnya Ghazlan akur.
Dua tahun perkahwinan Aisyah dan Ghazlan dan ketika Aisyah sarat mengandung, Hisyam
muncul kembali dalam kehidupan mereka apabila Hisyam ditugaskan terlibat dalam unit ATIP
bahagian risikan. Ghazlan dan Hisyam terlibat dalam satu operasi OPS JARING untuk
membanteras sindiket pemerdagangan manusia.
Konflik dalam diri Ghazlan bermula apabila Hisyam mengenangkan momen-momen silam mereka
termasuk mengakui yang dia masih cintakan Aisyah. Sepanjang malam ketika operasi Ghazlan
berada dalam keadaan keliru.
Dalam waktu yang sama, Zaki dan Hendra, warga Indonesia sedang mengatur penyeludupan
manusia untuk permintaan di Cameron Highlands. Zaki ingin menundakan rancangan mereka
kerana operasi besar-besaran oleh pihak berkuasa sedang dilakukan di sana. Bagaimanapun
Hendra mendesak supaya mereka meneruskan juga rancangan tersebut kerana dia memerlukan
duit untuk urusan membawa keluarganya ke Malaysia secara sah.