Pelawak Abam (Bocey) mengakui pernah mengalami masalah untuk mencari kerja kerana gemuk.
Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd, 29, berkata, bentuk fizikal yang besar telah menyukarkannya untuk mencari kerja selain menjadi seorang pelawak.
"Saya tidak boleh kerja jadi pengawal atau di restoran makanan segera seperti orang lain kerana agak mustahil bagi mereka menempah baju bersaiz khas untuk saya seorang sahaja.
"Kerana itulah saya mengatakan bukan mudah untuk orang berbadan seperti ini untuk mencari kerja yang perlu memakai pakaian seragam.
"Saya berasa amat bersyukur dan menghargai kerjaya yang ada sekarang.
"Jadi peluang yang ada sekarang ini saya harus gunakan dengan sebaik mungkin untuk mengumpul harta pada masa depan," katanya kepada Astro Gempak.
Abam ditemui pada majlis pelancaran Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) yang diadakan di Hotel Royale Chulan, baru-baru ini.
Kumpulan Bocey akan berentap bersama 14 kumpulan lain di MLM 2017 yang akan bersiaran secara langsung dari Royal Teater, Shah Alam, setiap Jumaat bermula 17 Februari ini, pukul 10 malam di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).