Mengisahkan seorang gadis bernama Jojie (Elvina Mohamad) yang merupakan anak perempuan kepada Kak Joyah (Raja Azura), seorang janda cantik dan popular dalam kalangan penduduk kawasan rumah mereka. Meskipun Kak Joyah digemari orang ramai, tetapi anaknya Jojie kerap dibuli oleh pelajar-pelajar lain di kolej kerana mempunyai cara pemakaian yang agak pelik.
Kak Joyah tidak peduli tentang persepsi orang lain terhadap Jojie dan dia menyayangi puterinya itu bagai menatang minyak yang penuh. Pada suatu hari, Jojie dan sahabat baiknya telah pergi berkelah di sebuah kawasan air terjun. Rupa-rupanya, buah hati Jojie iaitu Adam (Ben Amir) dah rakannya turut berkelah di tempat yang sama!
Adam cuba menyakat Jojie namun gurauannya itu bertukar menjadi tragedi apabila Jojie terjatuh ke dalam sungai dan dibawa pergi oleh arus yang deras. Kepala Jojie terhentak pada sebuah batu besar dan menyebabkannya tidak sedarkan diri.
Peristiwa hampir mati lemas itu telah menyebabkan Jojie menjadi lebih aneh. Kadang-kala, Jojie akan berkhayal dan menggigil secara tiba-tiba ketika melakukan sesuatu perkara. Sebenarnya, Jojie dikurniakan kebolehan untuk melihat perkara yang akan berlaku.
Pada mulanya, ibu dan rakan-rakan Jojie sendiri tidak percaya tentang kelebihan yang dimiliki Jojie ini. Mereka sangkakan Jojie telah diganggu oleh makhluk halus. Akan tetapi, Jojie bersifat positif dan tidak menganggap kebolehan unik ini sebagai suatu beban, malahan dia ingin menggunakan ia untuk membantu orang lain mengelak daripada ditimpa kemalangan.
Mampukah Jojie menjadi ‘superhero’ kesayangan orang ramai?