Download
Anak perempuan kepada pasangan pelakon Rozita Che Wan dan Zain Saidin iaitu Aaisyah Dhia Rana bakal muncul dengan program realitinya sendiri iaitu Little Princess Aaisyah.
Penolong Naib Presiden Perniagaan GEN NEXT Astro, Mohd Irwan Abdul Rauf berkata, program ini akan memfokuskan kepada kehidupan dan perkembangan seharian kanak-kanak cilik itu termasuk pelbagai aktiviti menarik.
"Kekuatan program ini terletak pada Aaisyah sendiri kerana dia mempunyai personaliti yang unik berbanding kanak-kanak seusianya.
"Imejnya yang seakan-akan seorang puteri ditambah dengan sifatnya yang gemar bergaya menjadikan dia seorang fesyenista kecil.
"Selain melihat kehidupan seharian dan perkembangannya program itu juga memaparkan gelagat comel Aaisyah dalam melakukan pelbagai aktiviti menarik selain mencuba sesuatu yang baharu," katanya
Mohd Irwan ditemui pada majlis pelancaran program itu yang diadakan di sini, Rabu.
Little Princess Aaisyah bakal menemui penonton bermula 12 April depan setiap hari Rabu, pukul 9 malam.
Ia disiarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Aaisyah Dhia Rana berumur 2 tahun 4 bulan.
Dalam pada itu, Mohd Irwan berkata, beberapa artis terkenal bakal membuat kemunculan istimewa dalam program itu seperti Neelofa, Jihan Muse, Nabil Ahmad dan Marsha Milan yang akan bersama-sama menjayakan aktiviti harian bersama Aaisyah.