Lakonan mantap Beto Khushairy, Sharnaaz Ahmad, Fasha Sandha dan Dian P.Ramlee di bawah arahan Haris Kadir ini mengisahkan Ghazlan dan Hisyam berkawan sejak kecil bercita-cita hendak menjadi anggota keselamatan. Mereka berkawan hingga ke IPTA tetapi selepas tamat pengajian hubungan mereka terputus. Ketika di kampus, Hisyam dan Aisyah bercinta. Namun sikap Hisyam yang panas baran hingga sanggup bertengkar dengan ayah Aisyah, Datuk Kamal menyebabkan hubungan mereka mendapat tentangan hebat. Datuk Kamal juga mengugut mereka memutuskan hubungan jika tidak mahu Aisyah dibuang keluarga. Hisyam akur demi Aisyah dan meninggalkan Aisyah tanpa khabar berita. Aisyah sedih dan kecewa. Hisyam sebenarnya terbabit dalam bidang kepolisian dan menjadi undercover. Kariernya itu menyebabkan dia mengambil tindakan menyepi diri daripada Aisyah walaupun hakikatnya dia benar-benar mencintai Aisyah. Ghazlan dan Aisyah bertemu setelah dua tahun mereka keluar dari IPTA. Apabila bertemu Datuk Kamal mendesak Aisyah menerima lamaran lelaki lain, Aisyah serba salah kerana dia masih lagi mencintai Hisyam. Setelah didesak, akhirnya Aisyah meminta bantuan Ghazlan supaya mengganti tempat Hisyam. Meskipun berat menerima tetapi akhirnya Ghazlan akur. Dua tahun perkahwinan Aisyah dan Ghazlan dan ketika Aisyah sarat mengandung, Hisyam muncul kembali dalam kehidupan mereka apabila Hisyam ditugaskan terlibat dalam unit ATIP bahagian risikan. Ghazlan dan Hisyam terlibat dalam satu operasi OPS JARING untuk membanteras sindiket pemerdagangan manusia. Konflik dalam diri Ghazlan bermula apabila Hisyam mengenangkan momen-momen silam mereka termasuk mengakui yang dia masih cintakan Aisyah. Sepanjang malam ketika operasi Ghazlan berada dalam keadaan keliru. Dalam waktu yang sama, Zaki dan Hendra, warga Indonesia sedang mengatur penyeludupan manusia untuk permintaan di Cameron Highlands. Zaki ingin menundakan rancangan mereka kerana operasi besar-besaran oleh pihak berkuasa sedang dilakukan di sana. Bagaimanapun Hendra mendesak supaya mereka meneruskan juga rancangan tersebut kerana dia memerlukan duit untuk urusan membawa keluarganya ke Malaysia secara sah. 

Share this :
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Ceritakita © 2017 ceritonton